Oleh
: Tengku Zawawi Tengku Zainal
Ramlee Mustapha
Abdul Razak Habib
Abstrak:
Kajian ini bertujuan untuk menjawab tiga
persoalan utama, iaitu (a) apakah konsepsi guru baru dan guru berpengalaman
tentang pecahan?, (b) bagaimanakah cara guru baru dan guru berpengalaman menyampaikan
pengajaran tentang konsep dan operasi ke atas pecahan kepada pelajar?, dan (c)
pada perspektif guru baru dan guru berpengalaman, apakah masalah dan kesilapan
konsep yang biasa dialami murid sekolah rendah bagi tajuk pecahan? Ketiga-tiga
persoalan di atas berkait rapat dengan tiga komponen penting iaitu Pengetahuan
Pedagogi dan Isi Kandungan (PPIK) yang perlu dimiliki oleh seseorang guru
berkaitan dengan konsep pecahan. PPIK adalah sejenis pengetahuan yang unik bagi
seseorang guru dan ia merujuk kepada cara guru menyampaikan isi kandungan agar
mudah difahami dan dapat menggalakkan kefahaman konseptual pelajar. Kajian kes
yang melibatkan lapan orang guru Matematik baru dan berpengalaman ini,
memperoleh data melalui sesi temu bual, pemerhatian dan pemeriksaan dokumen.
Teknik pemetaan konsep dan grid repertori turut digunakan untuk mencungkil pengetahuan
guru. Kajian ini mendapati bahawa kebanyakan guru Matematik yang baru
menyampaikan konsep asas dan operasi pecahan berdasarkan kepada kefahaman instrumental.
Langkah penyampaian dilakukan secara prosedural dan berpusatkan guru dengan
menggunakan simbol dan istilah yang abstrak. Manakala bagi guru Matematik
berpengalaman, sebahagian daripada mereka memiliki kefahaman relasional dengan
langkah pengajaran berdasarkan pendekatan konseptual. Walaupun begitu, masih
terdapat dalam kalangan guru Matematik berpengalaman yang memiliki kefahaman instrumental
dan mengemukakan langkah penyampaian secara prosedural dengan menggunakan
simbol dan istilah yang abstrak.
Ulasan:
Artikel ini sangat baik kerana melalui
pembacaan artikel ini, pembaca akan mengetahui bahawa pendidik Matematik
bertanggungjawab untuk memastikan para pelajar memahami sepenuhnya isi kandungan
supaya mereka mampu menyelesaikan masalah yang berkaitan, di samping mengelak
daripada berlakunya kesilapan konsep. Pengkaji ada menyimpulkan bahawa keberkesanan
pengajaran bergantung kepada sejauh mana tahap PPIK yang dikuasai oleh
seseorang guru. Kekurangan dan kelemahan dalam sistem pendidikan guru akan menyebabkan
guru-guru baru tidak mempunyai persediaan yang sewajarnya untuk memulakan tugas
sebagai seorang pendidik. Penyelidik juga menekankan bahawa perlunya satu program sokongan dan pemantauan
berterusan diberikan kepada guru-guru yang baru keluar dari pusat-pusat latihan
perguruan, sama ada dari universiti ataupun maktab-maktab perguruan.
No comments:
Post a Comment